Tuesday, May 3, 2016

KEHIDUPAN DI PENJARA.. ANTARA KEBEBASAN DAN KETERBATASAN– I

Artikel ini dipetik daripada satu bab yang terdapat dalam buku ‘Catatan Seorang Banduan(Kita Yang Bersalah Bangkitlah)’.Paparan ini adalah sebagai satu perkongsian keatas perkara-perkara yang diharap boleh membawa kebaikan kepada semua pihak.

Penghantar
-Sharmeyla-
Waris Penulis

KEHIDUPAN DI PENJARA..ANTARA KEBEBASAN DAN KETERBATASAN– I
Aku selitkan tentang bab ini seterusnya sambungan pada bab berikutnya dengan tajuk yang sama untuk dikongsikan khususnya pada pembaca di luar sana yang mungkin tidak pernah tahu atau mengambil tahu bagaimana rasanya hidup di sebuah penjara. Apa yang aku nyatakan di dalam bab ini tidaklah sebegitu terperinci kerana dalam buku kedua nanti(Dunia di sebalik tembok)aku menyentuh soal ini dari pelbagai sudut. Nantikan keluaran buku tersebut. Begitulah juga pada bab selepas ini. Walaupun dengan tajuk yang sama,pecahan isi yang hampir sama namun aku mengulasnya dari cara dan perspektif yang ada perbezaan.Tujuan aku mengulang-ulang tentang tajuk ini supaya anda pembaca di luar sana lebih daripada memahami bagaimanakah rasa dan jiwa sebuah kehidupan di dalam penjara itu agar dapat diambil segala pengajarannya. Soalan yang selalu orang fikirkan dan tanya ialah benarkah penjara itu suatu tempat yang menyiksakan. Ini kerana telah menjadi satu tanggapan apabila menyebut saja penjara semua orang akan membayangkan tentang perkara-perkara berkaitan siksaan dan penderaan. Berbalik pada soalan tadi. Benarkah penjara satu tempat yang menyiksakan?Benar. Dari segi siksaan pada rohani. TIDAK BENAR jika beranggapan ada siksaan dari segi jasmani. Ini kerana di Malaysia tiada wujud penderaan atau penyiksaan secara langsung dari aspek fizikal kepada tahanan di dalam mana-mana penjaranya. Ia lebih menumpukan kepada aspek pemulihan. Bila menyentuh tentang kesakitan,siksaan,kerugian dan kemusnahan ia boleh dibahagikan kepada tiga perkara utama yang juga aku perincikan pada bab berikutnya.

1.Rohani – Berada di dalam sebuah tempat seperti penjara ini benar-benar menguji aspek kemanusiaan yang ada pada diri kita ini. Segala yang berkait dengan kejiwaan perlu teguh seteguh karang di lautan. Sekukuh gunung di daratan kerana setiap saat ianya sentiasa dilanda arus dan gegaran yang pelbagai rupa. Perkara-perkara yang melibatkan naluri,perasaan dan jiwa ini akan menjadi satu siksaan dan bebanan kerana keadaan dan perubahan persekitaran yang jauh dan berbeza dari apa yang pernah kita
lalui semasa di luar dulu. Itulah yang kadang-kadang menghairankan aku pada sesetengah pihak yang sering berulang kali masuk ke penjara ini. Apakah mereka tidak merasai siksanya?Atau dunia ini tiada pilihan pada mereka untuk berbuat selain daripada jenayah. Sepanjang beberapa tahun berada di sini siksaan yang aku maksudkan dari dalam jiwa dan perasaan tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Jika kita terluka dan berdarah secara fizikal,ianya mungkin sakit namun hanya seketika. Ianya tidaklah begitu terasa. Kesembuhannya mungkin cepat. Tapi apabila ianya melibatkan perasaan yang tidak kelihatan ianya jauh berbeza. Pelbagai rasa itu muncul tanpa dapat dihalang.
- Malu
Dijatuhi hukuman dan dimasukkan ke dalam penjara merupakan satu titik hitam dalam hidup seseorang itu. Apa tidaknya,sudah pasti ianya disebabkan oleh segala perbuatan yang tidak wajar yang telah dilakukan dan ada diantara perbuatan-perbuatan tersebut terlalu menjijikkan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang manusia yang waras. Kes-kes seperti merogol anak sendiri,mencabul cucu dan sebagainya adalah contoh-contoh perbuatan yang boleh kita temui pelakunya di dalam penjara ini. Semua ini akan memberikan kita rasa malu yang teramat sangat. Kita malu pada masyarakat yang sudah pasti telah mengetahui apa jua perbuatan yang kita lakukan. Kita malu pada keluarga sendiri. Malahan kita juga akan merasa malu pada sesama pesalah itu sendiri jika perbuatan jenayah kita itu adalah sesuatu yang melampau. Ini adalah kerana di dalam penjara ini walaupun ianya dihuni oleh pelaku-pelaku jenayah namun kes dan jenayah yang dilakukan adalah berbeza-beza. Namun apa pun yang telah dilakukan ianya tidak mampu menepis perasaan malu itu apatah lagi gelaran sebagai banduan itu telah menjadi perkara yang menghantui masyarakat kita. Bergelar banduan itu pasti meninggalkan tanggapan bahawa kita orang jahat. Ini tidak mampu kita tepis. Aku merasakan sendiri semua perasaan-perasaan ini.. Bukan saja pada orang lain yang telah mengetahui apa yang telah berlaku namun aku malu pada anak-anak dan sesiapa saja yang datang melawat sewaktu penahanan ini. Aku malu kerana gagal menjadi ketua keluarga yang baik. Gagal untuk bersama-sama mereka dalam susah dan senang akibat pemenjaraan ini. Aku malu bila memikirkan mereka juga pastinya malu bila berhadapan dengan orang lain kerana mereka berkaitan dengan aku atas gelar
sebagai seorang bapa,suami dan ahli keluarga kepada mereka. Perasaan ini juga menjadi penyumbang kepada rasa siksa hidup di penjara selama bertahun-tahun ini. Membayangkan bagaimana untuk menutup semua rasa malu itu apabila dibebaskan kelak dan terpaksa berhadapan dengan masyarakat juga menjadi satu bebanan yang menyakitkan.
-Takut
Keutamaan kepada perasaan ini akan muncul atas sebab masa depan dan tanggapan. Setelah di penjarakan dan terpaksa pula melalui satu pemenjaraan yang lama akan meninggalkan perasaan takut kepada persoalan bagaimanakah masa depan,apakah yang dapat dilakukan setelah dibebaskan kelak. Dengan sejarah hitam begini pastinya akan meninggalkan tanggapan yang hitam juga pada semua pihak terhadap kita. Semua ini meninggalkan ketakutan yang bukan sedikit. Walaupun kepada mereka yang dijatuhi hukuman singkat. Perasaan sebegini tetap muncul. Ada diantara pesalah-pesalah ini yang lebih dalam ketakutan mereka iaitu mereka takut gagal untuk menjalani hidup ini dengan baik bila dibebaskan kelak. Mereka takut akan tewas,terjebak dan tersungkur lagi untuk kali yang berikutnya. Ini kerana mereka tidak mahu lagi merasai derita kehidupan di dalam penjara. Apa yang dapat aku berikan pada mereka-mereka ini hanyalah kata-kata semangat dan nasihat agar berhati-hati pada setiap langkah dan tindakan di luar sana. Bagi aku yang masih jauh dari kebebasan ini hanya mampu membantu dari segi nasihat kerana aku sendiri tidak mampu menduga apa yang telah berlaku dan berubah di luar sana dalam masa beberapa tahun ini dan seterusnya beberapa tahun lagi di hadapan yang terpaksa dijalani di dalam tirai besi ini. Aku juga tidak dapat lari dari semua perasaan-perasaan ini. Mampukah aku kembali pada kehidupan normal setelah bergelar ‘bekas banduan’ kelak. Kehilangan segala-galanya yang telah aku musnahkan itu..Mampukah ia kembali bakal menjadi sebahagian daripada ketakutan yang bersarang dan menyerang ke dalam diri.
-Sesal
Pepatah melayu ada menyebut ‘sesal dulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna’. Ini memang tepat bila kita renungkan sedalam-dalamnya. Sesuatu perkara yang membawa kemusnahan itu bakal meninggalkan sesuatu kekesalan yang sangat dalam kesannya pada kita kerana gagal untuk memikirkan dengan baik apa yang kita lakukan itu membawa hidup ini kearah mana. Maka itulah terlalu penting sebenarnya sifat berfikir dahulu sebelum bertindak. Contoh terbaik untuk semua rasa sesalan ini ialah pada kita yang bergelar penghuni penjara ini. Perasaan ini sedikit pun tidak pergi jauh dari kita. Setelah melalui sebuah kehidupan yang begini sukar,memeritkan dan membosankan ini yang jauh berbeza dengan apa yang telah kita lalui sewaktu bebas dulu meninggalkan rasa sesal yang terlalu dalam. Walaupun rasa ini baik dari sudut mencari keinsafan atas kesilapan namun kita juga tidak dapat lari daripada merasa tersiksa atas semua penyesalan ke atas kebodohan kita melakukan jenayah. Itulah aku selalu menyebut kepada rakan-rakan pesalah yang lain bahawa jika sesal itu boleh ditunjukkan dalam satu bentuk(fizikal/jisim)maka tiada sedikitpun ruang dalam penjara ini yang kosong kerana terpaksa menempatkan bongkah-bongkah,biji-biji,cebisan-cebisan sesal yang keluar daripada setiap penghuninya. Memandangkan Allah telah menjadikan sifat sesal atas sebab dan kebijaksanaan ianya hanya dalam bentuk rasa yang mengalir di dalam jiwa. Maka aliran-aliran inilah yang meninggalkan siksa pada kita yang mengalami. Inilah yang bakal anda rasa jika membiarkan diri anda menjadi sebahagian daripada statistik penghuni penjara. Sesalan itu juga mendesak dengan kuat naluri anda untuk segera bebas dari sini dengan sejuta harapan untuk menebus kembali apa yang telah dilakukan. Membina semula semua keruntuhan yang dicipta atas tindakan bodoh dan jahat sebelum ini. Perasaan sebegini tidak dapat dilepaskan. Pada yang hukumannya singkat mungkin desakan untuk semua ini tidaklah begitu terasa. Tapi bayangkan pada mereka-mereka yang terpaksa menjalani tempoh pemenjaraan yang lama(berpuluh tahun),hukuman seumur hayat(tiada tarikh bebas)atau yang dijatuhi hukuman mati. Bagaimanakah dengan sesalan mereka?Ini pasti menyiksakan.
-Rindu
Dalam menjalani sebuah kehidupan yang sangat hambar dan bosan dengan rutin yang sama pada setiap hari akan membawa hati dan bayangan kita untuk merindui saat-saat kebebasan dulu yang penuh dengan keindahan dan keseronokan. Kita rindu pada apa yang pernah kita lakukan. Kesukaan kita,perayaan kita atau apa-apa jua aktiviti yang jauh daripada ada di dalam penjara ini. Secara peribadi,aku sangat merindui saat-saat dalam kemewahan yang memberikan kesempatan untuk melancong ke banyak tempat yang dihajati(dalam dan luar negara). Hari ini,dengan pergerakan yang terhad,diurus dan ditetapkan aktivitinya meninggalkan perasaan yang menyiksakan. Namun,dalam semua perkara yang kita rindui di dalam penjara ini,seperkara yang tidak akan lari walau sesaat pun samada di dalam jaga atau tidur ialah merindui orang-orang tersayang yang ditinggalkan di luar sana. Merindui anak-anak dan isteri,ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Pada yang telah berumahtangga pastinya kerinduan kepada anak dan isteri itu adalah satu perkara yang sentiasa ada. Membayangkan saat-saat indah dan bahagia bersama mereka satu ketika dulu dan hari ini perpisahan yang hampir mutlak ini atas kebodohan kita sendiri juga benar-benar meninggalkan satu rasa yang sakit. Dalam sebuah bilik yang kita terpaksa berkongsi(adakalanya bersesak)dengan ramai penghuni lain dari pelbagai latarbelakang jenayah dan perangai akan memberikan kita satu rasa yang tidak selesa. Ini membangkitkan rindu kita pada suasana di rumah yang berhias tawa dan tangis anak-anak yang sentiasa berada disisi dalam susah dan senang. Semua ini hanya tinggal bayangan dan kerinduan yang sia-sia. Bayangkan rasanya jika anda dikenakan hukuman selama bertahun ,berbelas atau berpuluh tahun.
-Tekanan
Sesiapa saja yang pernah menjadi penghuni penjara ini dan berkata langsung tidak pernah merasai tekanan. Itu bohong. Walau sesingkat mana hukumannya. Walau sekerap mana pun dia pernah di penjarakan. Tekanan tetap akan datang pada seseorang itu. Bentuk dan caranya saja berbeza. Dengan kehidupan yang boleh dikatakan serba-serbinya sukar pada perkara-perkara tertentu,kehilangan kebebasan dan hak pada satu-satu perkara,kesesakan penempatan serta gabungan perasaan yang dinyatakan di atas benar-benar akan memberikan tekanan yang tinggi pada setiap
penghuni. Di sinilah kita lihat bagaimana seorang yang berumur 70 tahun yang di penjarakan atas kesalahan mencabul cucu sendiri sanggup merisikokan dirinya dengan bergaduh dengan penghuni lain yang berumur 23 tahun. Bila aku tanya kenapa. Jawabnya dia tekanan. Belum lagi aku sentuh tekanan pada penghuni lain yang dikenakan hukuman 20,30 tahun penjara malah ramai yang seumur hidup dan seumur hayat. Golongan ini pastinya lebih tertekan bila memikirkan hukuman yang terpaksa mereka jalani dan betapa sia-sianya ia. Ada diantaranya tekanan itu boleh disaksikan pada wajah,cara dan tindakan. Berapa ramai yang ditinggalkan orang-orang yang mereka kasihi yang diharap dapat menunggu kebebasan mereka. Ini permasalahan biasa di dalam penjara. Ditinggalkan isteri yang mengahwini lelaki lain dan sebagainya. Ada yang aku fikirkan melampau di mana isteri sendiri sanggup membawa bakal suami baru untuk diperkenalkan kepada kepada suami sendiri ketika datang memohon cerai dan dilepaskan. Ini tindakan keterlaluan jika difikirkan dan pastinya meninggalkan kesakitan pada si suami yang tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya memandang dari balik dinding pemisah. Inilah perkara-perkara yang pasti memberikan tekanan pada yang mengalami. Semua ini realiti yang banyak berlaku pada penghuni penjara ini. Semua Inil harga yang terpaksa kita bayar sebenarnya atas perbuatan kita sehingga membawa kepada pengurungan sebegini. Apa yang biasanya aku katakan pada teman-teman yang mengalami nasib begini ialah sabar,berfikiran positif dan teruskan hidup. Walaupun sebenarnya nasihat-nasihat begini jua ditujukan pada diri sendiri dimana aku jua mengalami semua perkara begini di sini. Ini kerana aku katakan pada mereka jua pada diri sendiri bahawa dalam dunia ini ada satu kitaran yang diperumpamakan dengan pelbagai ungkapan. Kata-kata seperti ‘patah tumbuh hilang berganti’ sering kita dengar. Bila kita kehilangan satu hubungan,kita mampu membina hubungan baru yang mungkin lebih baik dari sebelumnya. Yakini tentang itu.
Itulah diantara rasa yang benar-benar menguji kesabaran dan keimanan kita di sini. Aku banyak menyebut tentang ini dalam ratusan puisi yang aku cipta di sini. Semuanya hampir dengan plot perasaan-perasaan sebegini. Inilah juga yang aku maksudkan pada awal tadi dimana aku mengulangi maksud yang sama dalam nada yang berbeza pada bab selepas ini. Aku memikirkan ada satu nilai yang perlu ditekankan agar semua pesalah dan pembaca akan lebih mengerti natijahnya kehidupan di penjara itu.

2. Potensi-Seperkara yang aku sebut tentang rugi dan musnah akibat pemenjaraan ini adalah berkaitan dengan potensi hidup kita sebagai seorang manusia. Apa jua potensi yang ada dalam diri kita ini bakal beransur-ansur pudar,hilang dan habis begitu saja. Semuanya terbantut. Percayalah. Ini adalah kerana peratusan untuk kehilangan semua potensi itu di penjara adalah tinggi kerana di sini kita tidak mampu berbuat apa-apa yang kita minati atau sukai. Segala-galanya diikat oleh peraturan dan undang-undang. Jika kita berbakat dalam seni,politik atau apa saja di luar dulu. Di sini semuanya terhenti begitu saja. Walaupun ada juga yang mampu menghasilkan sesuatu(contoh menulis seperti aku)namun ianya bukan datang sebegitu mudah. Ianya mengambil masa bertahun-tahun untuk sedikit peluang dan ruang menulis begini. Itupun atas nasib yang aku anggap baik. Ia jauh berbeza dengan kehidupan bebas di luar sana dimana kita mampu kembangkan sejauh mana bakat dan potensi kita kearah yang kita mahu. Bidang-bidang yang kita dianggap baik seperti pekerjaan / perniagaan hancur berderai bila anda di penjarakan. Kepintaran serta bakat anda dalam pengajian dan seni misalnya juga akan turut terbantut. Ini aku rasai sendiri.Tidak perlu merujuk pada orang lain. Bagaimana aku sebenarnya memiliki segala-gala potensi yang baik. Daripada seorang pelajar yang pintar,cemerlang dalam pelajaran. Berbakat dalam bidang kepimpinan,memiliki perniagaan yang sepatutnya baik dan berpotensi,memiliki kenalan dan kawan-kawan yang baik dan berkualiti. Sehingga ada diantara kenalan ini sekarang memiliki kedudukan yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti politik dan perniagaan. Alangkah besarnya peluang dan potensi yang pernah aku miliki namun sia-sia akhirnya. Kenapa?Kerana aku membiarkan diri terpesong dari jalan kebenaran lalu melakukan kesalahan yang membawa aku ke penjara. Di sini semua yang disebutkan tadi terhenti buat seketika. Mungkin jika tidak bernasib baik akan terhenti buat selama-lamanya. Ini adalah kerana di penjara ini tiada apa yang boleh dilakukan. Hidup terkurung,tersekat dan terbatas di sebuah kurungan. Apa yang dapat dilakukan di sini?Bagi anda yang berada di luar sana dan tidak pernah merasai hidup di penjara ini mungkin tidak tahu betapa peritnya kehidupan ini. Hilang segala-galanya. Kerjaya hilang dan musnah. Peluang-peluang pembelajaran dan sebagainya lenyap. Berapa ramai banduan yang berada dalam penjara ini yang pernah menjawat jawatan penting sebelum ini .Mereka
terdiri daripada Pengarah,pegawai kanan atau kakitangan jabatan kerajaan. Tidak kurang juga yang menjadi pengarah/lembaga pengarah/pengurus syarikat yang memiliki perniagaan yang baik serta berpotensi. Namun semua itu berakhir begitu saja apabila terjebak dengan kesalahan yang dianggap oleh perundangan sebagai jenayah yang membawa kepada pemenjaraan. Segala-galanya lenyap sekelip mata. Jika dulu kita bagaikan kerlipan bintang dan seanggun bulan di dalam kata puja dan puji orang-orang sekeliling. Hari ini kita pasti dijauhi mereka. Ini kerana kita bukan siapa-siapa lagi. Kita bukan lagi seorang yang boleh disedut kepentingan,dihirup kemanisan atau pun berpaut kesenangan. Bergelar banduan menyebabkan kita menjadi objek yang menakutkan kepada orang lain yang sebelum ini melihat kita dari sudut pandang yang jauh berbeza. Selain daripada semua itu penjara ini juga mengikis sebanyak mungkin yang ada pada kita. Kalau dulu kita mungkin pemilik segala nama,reputasi,kewangaan,kedudukan dan sebagainya. Namun di penjara apa yang tinggal hanyalah harapan dan impian yang entah mampu lagikah tercapai atau tidak akhirnya. Ini kerana sebesar mana pun harapan itu agak sukar untuk kita kejar kerana hidup di sebuah penjara iru bagaikan burung yang hanya berlegar di dalam sangkar tanpa mampu melakukan apa-apa selain daripada disuakan makanan dan minuman. Dunia boleh dikatakan hampir berhenti pada sesetengah perkara termasuk kepada cita-cita dan potensi yang ada pada kita sebelum ini. Dengan pakaian yang berwarna putih,merah,hijau dan biru(mengikut peringkat)tidak membezakan kita dengan penghuni-penghuni lain yang mungkin tidak standing kita di luar sana. Di penjara ini semua kita serupa. Kita dijauhi oleh kesenangan,kemewahan juga teman-teman lama yang dulunya sama-sama ketawa. Inilah yang cuba aku gambarkan dalam banyak puisi yang aku cipta disini.Salah satunya ialah bertajuk Lumrah

Ketika laguku merdu
dan semuapun tahu
tangan-tangan bertepukan
melantun puji
menyusul hasrat
jari meminta
huluran sakuku
yang sarat
di sudut-sudut malam
dan aku terlepas pandang
tentang kepuraan
Setelahku tersekat
dan tiada yang ambil tahu
pesan-pesan dibiarkan
salam-salam tak bersahut
aku terlepas dari ingatan
terjunam ke lurah
teriakan atas gelincirnya aku
dibiarkan berdarah
dan terpaksalah
kurawat
sendiri-sendiri

Pengakhiran kepada semua nasib yang menimpa kita atas pemenjaraan yang dicetuskan puncanya oleh kelekaan serta kebodohan diri sendiri ini ialah berkaitan tanggapan dan penerimaan masyarakat serta semua pihak. Sebaik mana pun kita dulu. Sehebat mana pun reputasi. Secerah mana pun potensi yang pernah melantun pujian di dalam hidup kita di tengah-tengah gelaran,kedudukan dan apa saja di luar sana. Ianya bakal berubah. Orang tidak akan memandang pada apa yang ada pada kita kelmarin. Segala kehebatan itu hilang disebabkan kesan dan tindakan akhir yang berlaku. Lihatlah saja bagaimana kita dilayan di dalam penjara ini. Sama saja sepertimana yang aku sebutkan tadi. Aku pernah bersama dengan bekas pengarah jabatan kerajaan,Datuk dan ahli politik yang menjadi banduan. Nilai yang ada pada mereka sebelum ini hilang. Segalanya seolah-olah tidak pernah wujud. Di dalam buku yang kedua nanti aku perincikan segala-galanya tentang kisah golongan ini. Nantikan. Inilah yang dikatakan sebagai keadilan. Kebijaksanaan Allah yang hanya Dia yang mengetahui pada setiap rencananya. Setiap perkara itu pasti mempunyai sebab dan balasan sepertimana kita perlakukan.

3.Kualiti Hidup-Perkara ketiga yang disebut sebagai perkara yang sangat jelas merugikan ialah dari segi kualiti hidup. Bagaimanakah yang dikatakan tentang kualiti hidup itu sebenarnya?Adakah kekayaan adalah lambang kualiti hidup?Adakah kecantikan?Adakah kesihatan?Memang benar jika kesemua perkara-perkara yang disebut di atas bergabung di dalam kehidupan ianya menjadi kayu pengukur ke atas sebuah hidup yang berkualiti. Apa yang terpenting ialah hidup ini berjalan seiring dengan kebahagiaan. Dalam senang kita bahagia,dalam susah pun bahagia dan dalam sihat atau sakit pun masih menyelit kebahagiaan itu. Semua ini hanya dapat diperolehi pada persekitaran yang baik. Adakah persekitaran seperti penjara ini adalah tempat yang baik untuk didiami?Bagi anda di luar sana yang belum pernah sekalipun merasa kehidupan di penjara pasti akan memberikan jawaban tidak. Ini kerana sudah tertanam pada minda siapa saja tentang pemahaman juga gambaran yang berkaitan dengan penjara. Menyebutnya pun anda gigil dan jelek. Apatah lagi untuk hidup di dalam dunianya. Bayangkan pada mereka yang siang dan malamnya di sini. Malah ada yang bertahun-tahun dan seumur hayat terpaksa menjadikan penjara ini dunia persinggahan dan ada diantara mereka ini bakal berpusara di sini. Di penjara memang hidup. Namun kehidupan yang bagaimana?Ia sangat jauh berbeza daripada sebuah kehidupan yang pernah kita lalui di luar dulu. Di penjara memang kita makan dan minum. Tapi bagaimanakah makanannya?Terlalu berbeza dengan apa yang boleh kita dapat di luar sana. Di sini segalanya bercatu. Jenis dan waktu makanan dan makan tertakluk pada apa yang telah ditetapkan. Menu yang berulang dan sama. Kuantiti yang terhad. Ada waktunya cukup dan ada ketikanya kita merasakan bahawa ianya tidak mengenyangkan. Berbeza dengan dunia luar. Kita mampu mendapatkan pelbagai jenis makanan yang kita mahu tanpa ada sebarang sekatan. Di penjara ini memang ada tempat berteduh,tidur dan berehat. Tapi tempat yang bagaimana?Ia hanyalah bangunan batu yang dipagari besi dengan hanya seluas beberapa kaki persegi. Terpaksa pula berkongsi dengan ramai penghuni lain yang ada kalanya pada waktu puncak kesesakan kita akan tidur berhimpit(pada blok-blok tertentu)Ini cukup menyiksakan ditambah pula dengan kemudahan yang paling asas. Inikah kualiti hidup yang kita impikan?Di penjara juga kita akan terkurung sepanjang masa. Ini bergantung kepada blok penempatan.Mungkin ada blok yang memberikan ruang untuk keluar pada masa-masa tertentu kerana bekerja atau menjalani program khas. Namun lebih ramai
penghuni yang akan terkurung 24 jam tanpa berbuat apa-apa yang kerja mereka hanyalah sekadar menghabiskan baki hukuman. Bayangkan jika anda terpaksa melalui semua ini selama bertahun-tahun. Duduk di dalam sebuah kurungan,tanpa mampu ke mana-mana hinggalah dibebaskan. Bukankah ini satu perjalanan hidup yang memeritkan?Apakah hidup begini pilihan yang betul?Sewaktu menjadi ketua penghuni di PPI dan sepanjang tempoh itu aku menerima ramai penghuni-penghuni baru yang dijatuhi hukuman. Selepas beberapa minggu bersesak-sesak di blok kuarantin mereka akan dipindahkan ke PPI bagi mengikuti program. Bermacam jenis manusia yang aku temui. Dalam comot,kotor,tidak terurus dan tanpa ada apa-apa terselit diantara mereka ini orang yang bukan sembarangan di luar sana. Seperti yang selalu aku nyatakan. Ada diantaranya terdiri daripada bekas pengarah,pegawai kanan kerajaan,cikgu,berpendidikan tinggi(ijazah/master). Malang sekali bila mereka terhumban ke penjara ini,kualiti hidup yang ada pada mereka sebelum ini hilang begitu saja. Ini sangat menyedihkan. Inilah yang selalu aku katakan pada mereka. Ambillah pengajaran. Jangan lagi masuk ke penjara ini. Saat-saat yang paling menyedihkan ialah apabila menerima kemasukan kawan-kawan lama,kawan sekampung yang kecundang seperti aku dan berada di penjara ini. Di sini bukanlah tempat sepatutnya satu pertemuan. Tempat ini penuh dengan kesulitan dan kesengsaraan. Bukan saja kita bakal kehilangan kualiti hidup malah kita berisiko kehilangan kasih sayang dan ingatan orang lain. Ramai dikalangan penghuni/banduan di sini yang ditinggalkan begitu saja oleh orang-orang yang mereka sayangi dan harapkan di luar sana. Semua peristiwa buruk begini memberikan lagi tekanan yang memang sedia dalam tekanan ini. Dengan semua kesusahan-kesusahan yang terpaksa ditempuhi di sini,soal makan,soal tempat tidur,tempat tinggal dan sebagainya. Ada yang mengeluh dan memprotes. Aku selalu bertanya kepada kumpulan ini. Kenapa harus memprotes?Siapa sebenarnya yang harus dipersalahkan?Kerajaan dan Jabatan Penjara tidak bersalah di dalam semua ketidakselesaan kita di dalam penjara ini. Kenyataan yang harus dipegang oleh semua orang ialah jika mahu selesa,jika mahu senang,jangan masuk penjara. Ini bermakna jalanilah hidup di luar sana dengan baik. Hargailah kebebasan itu. Kelekaan,ketamakan dan apa-apa jua kesalahan yang kita anggap teman dan cara hidup di luar sana bakal menjerat kita untuk jatuh dan terkurung di dalam sangkar gergasi ini. Apabila itu terjadi,hilanglah segala-gala yang kita miliki termasuk kualiti dan harga sebuah
kehidupan itu. Ungkapan yang selalu kita dengar apabila berdepan dengan semua kesulitan itu di sini ialah “PENJARA BAH INI”. Maka itu berhati-hatilah.
Menutup bab ini aku selitkan dua kata hikmah sebagai renungan. Satu daripada kata-kata hikmah ini aku sendiri yang ilhamkan melalui pengalaman sepanjang hidup di penjara ini.Dan satu lagi adalah dari seorang pakar motivasi yang terkenal.

“Tidak ada manusia yang dilimpahi nikmat sepanjang masa.Ada kalanya menderita juga.Tidak ada manusia yang derita sepanjang masa.Ada kalanya bahagia juga.Yang membezakan adalah bagaimana seseorang itu melihat apa yang dikatakan derita dan apa yang dikatakan bahagia.Yang membezakan adalah persepsinya dari sudut apa dia melihatnya”
- Dr Hm Tuah Iskandar Alhaj

“Menjadi banduan menyebabkan kita kehilangan sebahagian daripada kehidupan yang umumnya bersifat duniawi(harta, keseronokan, kebebasan dll)namun memperolehi sebahagian lagi daripada kehidupan yang bersifat rohani(sabar,ikhlas,redha,syukur dll)

-Nafie Rashkin-
Kepada para pesalah..bangkitlah dari masa silam yang kelam.
HR NafieYb

1 comment:

  1. http://sisiusus260.blogspot.com/2017/11/cerita-artis-artis-tanah-air-yang-bisa.html
    http://sisiusus260.blogspot.com/2017/11/tak-biasa-kakek-di-jepang-bisnis-kopi.html
    http://sisiusus260.blogspot.com/2017/11/heboh-malam-pertama-pengantin-sejenis.html
    http://sisiusus260.blogspot.com/2017/11/adegan-pria-ditampar-pakai-payudara-ini.html

    joint us :
    * BBM: D1E0517C / 2B3F0E24
    * WHATSAPP:+6282143134682
    * LINE: PELANGIQQ
    * WECHAT: pelangiqq


    ReplyDelete