Thursday, April 28, 2016

Kita belum lagi mati

Mungkin kita pernah tewas
tersungkur, luka dan menangis
kuncup mekar pedoman
adalah hiasan lumrah dijambangan hidup
kerana kita insan biasa
terkadang bugar, yang terkadang pudar semusim leka
pada gemerlapan dan nada
yang membutakan pandang dan waras
namun..
kita belum lagi mati…

Hari ini kau terdampar
ditapak kaku yang bisu.. lagi hambar
lantai kita bukanlah pentas berhias
kamar kita bukanlah mahligai indah
namun bukan jua pusara..

Ini soal karma insan
yang kau wajar kutip di jalan gersang itu
sejuta pengertian
agar bakal berkerlip sukma
di arena kebebasan
kerana…
kita belum lagi mati..

Pergilah dengan kumandang
bergema bangkit dan sorak
untuk sampai ke puncak hidayah
yang menyajikan kemanisan mewangi
dendangkan lagu lunak
tarikanlah irama santun dan sentosa
di aras makna yang menyingkir salah dan dosa

ingatlah…
kita belum lagi mati




H.R NafieYb
Posted By

Sharmeyla

Tuesday, April 26, 2016

SEKILAS TENTANG BUKU

CATATAN SEORANG BANDUAN 
(KITA YANG BERSALAH... BANGKITLAH)

Sebuah buku motivasi
Sofi (bukan nama sebenar)merupakan seorang duda beranak tiga. Kesemua anaknya perempuan yang berusia diantara 14-16 tahun. Beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang. Akibat kekecewaan disebabkan perceraian dengan isterinya serta kekurangan didikan agama, Sofi telah terjebak dengan dadah dan minuman keras. Pada satu peringkat setelah hidupnya mula tidak menentu akibat dadah Sofi telah melakukan suatu perbuatan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang ayah. Dia telah memperkosa dua orang anaknya sehinggalah perbuatan terkutuknya itu dapat dihidu oleh pihak sekolah tempat anaknya yang malang itu belajar. Perbuatannya itu telah dilaporkan dan hari ini beliau berada di penjara setelah dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun atas kesalahan merogol anak sendiri. Ketika ini dia menjadi seorang manusia yang penuh dengan penyesalan. Namun segalanya telah termaktub. Inilah karma. Setiap perbuatan jahat akan menerima pembalasan yang memeritkan.

Inilah diantara kisah pesalah yang dipaparkan di dalam buku Kita yang bersalah.. Bangkitlah yang dikongsikan sebagai satu pengajaran jika anda membacanya.
Buku ini boleh dikategorikan sebagai sebuah buku motivasi yang di dalamnya terkandung pelbagai paparan untuk dijadikan panduan dan sempadan dalam hidup kerana ianya penuh dengan nasihat dan peringatan berdasarkan pengalaman sebenar penulis yang menjalani kehidupan rutin sebagai pesalah di dalam tembok batu. Tidak ketinggalan diselitkan kisah-kisah banduan lain yang terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah sebagai satu pengajaran.
’Kita Yang Bersalah.. Bangkitlah’ ini ditulis atas hadirnya hidayah serta keinsafan dan bagaimana kedua-dua perkara ini membawa penulis untuk terpanggil menyeru kepada rakan-rakan pesalah / banduan yang lain yang dilihatnya di depan mata masih ramai yang terperangkap dalam dunia jenayah sehingga menjadi penghuni berulang atas pelbagai sebab dan salah satu darinya ialah rasa putus asa atau tersisih dari keluarga dan masyarakat yang lazimnya meminggirkan golongan banduan atau bekas banduan itu.
Jika sebelum ini kita mungkin pernah membaca berkenaan kehidupan penjara dari buku-buku para ilmuan dan pakar motivasi namun, apa yang ditulis adalah berdasarkan kajian semata-mata. Berbanding buku ini yang telah ditulis oleh penghuni penjara itu sendiri yang pastinya pengamatan dan pandangan daripada kacamata beliau lebih terperinci, lengkap dan tepat. Gurunya hanyalah pengalaman yang merasai dan melihat sendiri di depan mata setiap inci dan sudut kehidupan di penjara. Pada masa yang sama, buku ini bukan saja mengajak rakan-rakan penghuni lain untuk bangkit dari kejatuhan dan menjelma menjadi ‘orang baru’ dengan meninggalkan dunia jenayah, ianya juga sebagai peringatan kepada pembaca dan orang awam yang belum pernah merasai peritnya kehidupan sebagai seorang banduan dan di penjarakan namun yang pastinya mereka juga pesalah yang melakukan pelbagai kegiatan yang salah samada disedari atau tidak. Peringatan yang ditujukan kepada pembaca dengan membawa mereka untuk ‘merasai’ keperitan dan liku-liku kehidupan di dalam sel- sel penjara melalui pembacaan dengan harapan paparan itu akan menghadirkan rasa gerun dan benci kepada pelakuan jenayah juga
bagi mengubah pandangan salah / negatif masyarakat terhadap banduan / bekas banduan.
Sebagai seorang banduan,penulis amat memahami setiap rasa dan roh seorang banduan yang lain. Tentang keinginan,hasrat dan keazaman sebahagian daripada mereka untuk benar-benar mahu berubah . Atas kesedaran dan keinsafan inilah penulis tidak lupa menyeru kepada pesalah/banduan lain, tentang kepentingan mencari perubahan itu yang harus dimulakan dari sel-sel penahanan mereka sebagai persediaan sebelum dibebaskan kelak. Seterusnya menyedarkan pembaca di luar agar memberi peluang dan ruang kepada golongan ini untuk menampilkan perubahan yang mereka inginkan. Di dalam buku yang mengandungi 36 bab inilah penulis memaparkan pelbagai isu kehidupan yang menjadikan penjara dan pemenjaraan sebagai subjek dan rujukan utama. Di sinilah diantara kekuatan buku Kita Yang Bersalah.. Bangkitlah ini kerana ia lahir dari pengalaman sebenar penulis semasa menjalani kehidupan selama bertahun-tahun di dalam penjara. Karya ini dihasilkan dari dalam sel / blok penjara yang penuh kepayahan itu. Menulis dari kamar besi dengan peraturan yang ketat bukanlah satu perkara yang mudah. Ditambah lagi dengan suasana persekitaran yang sentiasa sesak dengan penghuni- penghuni lain yang jauh daripada ketenangan yang sepatutnya diperlukan dalam penulisan. Ada ketikanya kesukaran-kesukaran itu hampir membunuh hasrat. Ini menceritakan kenapa buku ini mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.

Naskhah ini akan diterbitkan tidak lama lagi. Dapatkan di pasaran atau di myharapyb.blogspot.my
Hidup ini harus dilayari dengan baik. Dalam pada ia terisi dalam perkara-perkara bahagia adakalanya derita itu menjelma berhati-hatilah pada setiap kata langkah dan keputusan. Niat harus baik. Hati mesti bersih. Berusahalah dapatkan keberkatan dalam apa jua perkara. Carilah rezeki yang halal walau sedikit. Hindari kesilapan dan belajar daripadanya.
H.R Nafie@Yb

Himpunan Rakan Penghuni (HARAP)

Pendahuluan

HARAP atau nama penuhnya HIMPUNAN RAKAN PENGHUNI adalah sebuah Persatuan yang bakal menghimpunkan penghuni/banduan dan bekas-bekas penghuni penjara sebagai ahli dan bernaung dibawah satu bumbung. Penyertaan mereka ke dalam Persatuan ini akan dipayungi dengan pelbagai kebaikan melalui perancangan serta program yang akan dilaksanakan. Semuanya telah dirancang dengan baik dan rapi. Ianya bukan sekadar Persatuan/Pertubuhan biasa yang hanya wujud atas nama. Peranan besar yang bakal dimainkan melalui program dan perjuangan bagi mengubah sekelompok manusia yang pernah gagal dalam hidup adalah merupakan agenda utama yang menjadi cerminan kepada peranan dan kewujudan Persatuan ini.

Sejarah Penubuhan

Ilham untuk menubuhkan   HARAP ini timbul pada tahun 2013 dan pada asalnya akan memulakan kegiatannya dari dalam penjara dengan menjadi satu badan yang membantu Jabatan Penjara kepada perkara-perkara yang dibenarkan. Namun hasrat itu terbantut kerana tuntutan peraturan yang tidak membenarkan penubuhan atau kegiatan apa-apa jua yang berbentuk Persatuan/Pertubuhan dikalangan penghuni di dalam penjara. Undang-undang seperti ini harus dihormati kerana memahami apa-apa jua peraturan yang telah ditetapkan itu adalah bersebab. Dan sebab itu pastinya demi kebaikan kepada  semua pihak. Bermula dari situ rancangan tentang ini telah mula diperkemaskan. Merangka strategi dan perancangan di atas kertas untuk diterjemahkan  dalam bentuk tindakan apabila Persatuan ini mampu bergerak secara sah di luar sana satu hari nanti.

Tujuan

Idea untuk menubuhkan sebuah Persatuan seperti ini hadir ataspengalaman serta pemerhatian selama beberapa tahun menjalani kehidupan di penjara yang melihat beberapa kekurangan dari beberapa sudut. Diantara kekurangan itu ialah,tiada satu badan pun yang benar-benar aktif untuk memperjuangkan kebajikan banduan dan bekas-bekas banduan secara menyeluruh. Memang diakui,ada persatuan-persatuan tertentu yang memang sudah diwujudkan namun hanya bergerak secara bermusim atau jika aktif pun hanya lebih cenderung untuk membantu  satu-satu kelompok sahaja. Dan apa yang paling penting yang dapat diperhatikan ialah tiada satu pun Persatuan atau Pertubuhan di negeri Sabah ini diasas atau ditadbir oleh mereka-mereka yang berpengalaman menjalani hidup di penjara atau bekas-bekas  banduan itu sendiri.

Objektif

  1. Membantu membina semula kehidupan ahli(bekas banduan) dengan memberi bantuan dalam bentuk pemantapan ekonomi melalui pekerjaan / perniagaan.
  2. Bagi tujuan di atas,HARAP akan bertindak sebagai agen penyokong/pembantu yang akan menghubungkan ahli dengan pihak lain seperti syarikat,orang perseorangan dan lain-lain pihak yang berkaitan bagi memberi ruang kepada ahli dalam bentuk pemberian kemahiran sebagai persediaan pekerjaan atau mendapatkan terus pekerjaan yang sesuai kepada mereka/membantu mencarikan peluang pekerjaan.
  3. Untuk memberi bantuan dalam bidang perniagaan pula,HARAP melalui dana yang bakal dijana hasil kepelbagaian aktiviti serta sumbangan dari pelbagai pihak akan membantu mengasaskan dan membina sesebuah perniagaan kecil-kecilan yang dirancang oleh ahli. Penumpuan adalah kepada rancangan perniagaan secara berkelompok. Terma dan  syarat tentang pelaksanaannya akan diperincikan kepada ahli.
  4. Mengubah pandangan masyarakat menjadi lebih baik kepada setiap banduan/bekas banduan. Menanam sikap mempercayai dan memperkukuhkan hubungan diantara mereka melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti/program yang menjurus kearah itu.
  5. HARAP akan menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO)yang aktif dalam kegiatan pencegahan jenayah melalui kerjasama dengan semua pihak yang terbabit. Pelaksanaan keatas semua ini melalui pendekatan kempen-kempen anti jenayah seperti ceramah,jelajah,pameran dan sebagainya yang lebih menumpukan kepada penglibatan dan peranan ahli yang menjadikan pengalaman hidup di penjara sebagai modal utama. HARAP akan melatih ahli-ahlinya yang terpilih dalam bidang pengucapan umum untuk dihantar dalam program-program berkaitan ke sekolah-sekolah, kolej, institusi belia dan pengajian tinggi dan lain-lain.
  6. Berkerjasama aktif dengan Jabatan Penjara dalam apa jua program yang melibatkan kebaikan dan kebajikan penghuni yang masih berada di dalam penjara.

Perancangan / Program Sasaran

  1. Mengadakan kursus-kursus kemahiran / perniagaan jangka pendek dengan agensi-agensi yang berkaitan yang disertai oleh ahli persatuan.
  2. Menganjurkan kem bina diri dari masa ke semasa bagi memantapkan sahsiah diri ahli agar lebih bersedia menghadapi cabaran dalam kehidupan.
  3. Menyertai  sebarang pameran / seminar / dialog perniagaan dengan agensi  yang berkaitan untuk meningkatkan taraf ekonomi ahli.
  4. Menubuhkan skuad sukarelawan bagi membantu pihak lain jika diperlukan dalam sebarang situasi bencana/mengadakan kerja-kerja amal.
  5. Menganjurkan jelajah berbentuk kempen/ceramah pencegahan jenayah ke seluruh negeri(sasaran pada pelajar sekolah dan belia)yang disertai oleh ahli persatuan.
  6. Bekerjasama rapat dengan Jabatan Penjara dalam aspek kebajikan para penghuni di dalam penjara.
  7. Melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memberi bantuan dalam bentuk yang difikirkan perlu kepada waris / keluarga penghuni / bekas penghuni.

Perancangan Jangka Panjang

  1. Disamping pembentukan Ahli JawatanKuasa yang bertindak sebagai perancang dan penggerak utama diperingkat Pusat, HARAP akan dilancarkan di setiap daerah di Sabah(perintis) dengan perlantikan seorang ketua bagi setiap daerah. Ketua yang dilantik(dikalangan bekas penghuni penjara)ini akan bertindak mengumpul keahlian bagi daerah yang diwakilinya serta mengajukan setiap perancangan dan cadangan dari bahagian masing-masing untuk tindakan JawatanKuasa Pusat bagi maksud perlaksanaan.
  2. Mengujudkan Pusat Sehenti dalam satu kawasan yang menempatkan bangunan kediaman(asrama),bengkel-bengkel kemahiran dan lain-lain. Pusat ini akan berfungsi sebagai pusat persinggahan sementara yang akan melatih dan mendedahkan bekas-bekas banduan dalam pelbagai bidang sebelum keluar  menghadapi kehidupan sebenar.
  3. Menjadi sebuah Pertubuhan yang berperanan besar dalam usaha pencegahan jenayah diperingkat nasional mahu pun antarabangsa.
  4. Bakal menjadi sebuah Pertubuhan yang memayungi semua bekas-bekas banduan diseluruh Malaysia. Ini bermakna aktiviti atau cabang Persatuan ini akan diperluaskan ke seluruh negara pada masa depan.

Kesimpulan

Semua yang digariskan ini bakal dilakukan secara teratur dan sistematik bagi mempastikan setiap perancangan,kehendak dan keperluan ahli dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya selaras dengan objektif yang telah digariskan. Itulah gagasannya. Begitulah besarnya sebuah perancangan bagi mengeluarkan sekelompok manusia yang pernah membuat kesilapan dan dianggap oleh sebahagian besar masyarakat sebagai tidak berguna iaitu bekas banduan dari ‘dunia kegelapan’ kepada ‘gemerlapan’. Dengan tertubuhnya HARAP ini akan mampu memberi impak yang besar dengan fungsi serta peranan yang juga besar dalam konteks nasional. Semua ini hanya bakal tercapai dengan kerjasama semua pihak. Hasrat murni ini bukan sekadar impian sebenarnya. Jalan ke arah itu telah lama dirancang dan dimulakan dari dalam penjara lagi. Dalam sejuta kepayahan yang ditempuhi semasa menghabiskan hukuman di dalam tembok batu ini soal penubuhan HARAP dan peranan serta kepentingan yang bakal dimainkan sering dikongsi dan diwar-warkan kepada penghuni yang akan keluar dari sel-sel mereka untuk memulakan hidup baru atas nama kebebasan. Adalah diyakini HARAP bakal lahir dan berkembang dengan jayanya pada satu hari nanti. Kejayaan itu dengan sendirinya akan mengelak untuk bekas-bekas banduan terjerumus semula ke kancah jenayah dan menjadi penghuni/banduan berulang penjara.
Selamat Maju Jaya HARAP

Makluman..

·         Permohonan Pendaftaran Persatuan Ini Dengan Pihak  Pendaftar Pertubuhan Sedang Dalam Proses Pelaksanaan.
·         Maklumat Terkini Berkenaan  Pendaftaran Keahlian Dan Perkara Berkaitan
      
Akan Dimaklumkan dari Masa Ke Semasa Di

Posted By: 
Sharmeyla